RSS Feed

Thursday, March 29, 2012

Muhasabah Hari Lahir : Sudut Pandang FJAX0114 (Statistics and Probability) dan Penghayatan Islam


('aku' : diriku sendiri, dan kita sendiri juga, mari muhasabah)

Hari-hari berlalu seiring masa beredar di atas paksinya - paksi fitrah Islam, tanpa ingkar. Sehingga hari ini. Aku merenung diri. Adakah sekadar hidup (العيش) atau menjalani kehidupan (الحياة)?

Gesaan supaya muhasabah dan hijrah; sudahkah aku bermula?

Allah, Allah, Allah, menyesalnya.
أستغفر الله العظيم
.

Aku tersedar; perlunya muhasabah dan koreksi amalan. Aku teringat pesan mutiara Sayyidina Ali,

"حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا"
Maksudnya : Muhasabahlah dirimu sebelum kamu dihisab (di akhirat).

Allah, betapa benarnya. Tanpa muhasabah, entah sedar atau tidak akan amalan seharian kita yang bercampur-baur antara kebaikan dan maksiat kepada Allah (baca: penentangan kepada Allah). Jika muhasabah, baru terang lagi bersuluh akan kedua-duanya.

Semacam ungrouped data. Berselerakan tanpa sedar. Lantas hadirnya inisiatif untuk mengkelaskannya. menjadi grouped data. Terbahagi mengikut class usia. Nampak jelas akan banyak sedikitnya amalan kita.

Allah, Allah, Allah, menyesalnya.
أستغفر الله العظيم.

Muhasabah lebih dalam. Nilai dengan lebih teliti. Amalan dan dosa apakah yang kerap kulakukan? Aku mengira mode datanya - (the value with highest frequency). Amalan itu - alhamdulillah, ya Allah, kuatkanlah aku untuk mengekalkannya dan meningkatkannya. Dosa itu - astaghfirullah, ya Allah, bantulah aku untuk berhenti dan membencinya.

Muhasabah lebih dalam. Nilai dengan lebih teliti. Kujujukkan amalanku. Nilai median (the middle value) kukira. Di tengah-tengah class usia. Di puncak masa. Ketika itu, di atas jalan manakah aku? Benarkah atau batilkah?

Muhasabah lebih dalam. Nilai dengan lebih teliti. Kujumlahkan amalanku yang tidak seberapa itu. Belum kira lagi antara ikhlas atau tidak. Mean (the average value) terhasil daripada kiraan. Allah, memadaikah hasilnya dengan masa yang dihabiskan dalam seluruh class usia itu?

Allah, Allah, Allah, menyesalnya.
أستغفر الله العظيم.

Belum lagi diambil kira dari faktor ukuran serakannya (measure of dispersion). Nilai variance dan standard deviation bagi amalanku - kadar serakan itu dan tertitip di atas bentangan graf. Graf amalan dan iman. Allah, teruknya!

Benar kata Prof Madya Dr Jusoh Yacob, pensyarah Algebra & Calculusku; segala dalam kehidupan ini merupakan probability. Probability: adakah aku akan melakukan dosa atau pahala sebentar lagi? "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya" (Surah al-Syams, ayat 8). Nilai probability of success (theta) bagi Binomial Probability dalam hidupku - antara akan melakukan amalan kebaikan dan maksiat - X~Bin(n,theta) jelas bergantung kepada imanku. Tinggikah atau sekadar cukup makan? Bagaimanakah jika theta yang tidak kuiingini (tak sanggup kusebutkan di sini) lebih dominan?

Allah, Allah, Allah, menyesalnya.
أستغفر الله العظيم.

Cukup. Aku terduduk. Terjelepok.

Silibus dan subtopik dalam subjek FJAX0114 : STATISTICS & PROBABILITY bukanlah berhenti setakat ini. Kaedah penilaian yang lebih mendalam yang boleh diaplikasikan dalam penilaian kehidupan terlalu banyak, namun di tahap asas ini pun sudah membuatkan hatiku menangis.

Aku rebah tersungkur. Ya, aku, seorang hamba yang hina di hadapan Tuan Yang Bersifat dengan Segala Sifat-sifat Kesempurnaan-Nya. Air mata bercucuran.

Allah, Allah, Allah, menyesalnya.
أستغفر الله العظيم.

Wahai diri,

Hari ulangtahun kelahiran menandakan meningkatnya usiamu dalam kembara kehidupanmu. Ya, seiring dengan itu meningkatnya data dalam statistic kehidupan. Meningkat juga probability untuk melakukan dosa. Malahan, meningkatnya jumlah hutangmu dengan-Nya. Semakin banyak kuantiti oksigen yang dihirup, rezeki yang dilahap.

Setimpalkah amalan dalam melunaskan hutang itu?
Ya Allah, ampunilah, bimbinglah dan kuatkanlah. Sahabat, doakanlah! Amin...

(ucapan selamat hari jadi yang diterima terasa merobek-merobek kalbu yang pilu, di luarannya aku hanya mampu tersenyum pahit)
 
Kredit :
Pensyarah FJAX0113 (Algebra & Calculus ) : Prof Madya Dr Jusoh Yacob
Pensyarah FJAX0114 (Statistics & Probability ) : Prof Madya Wan Fauzi Wan Mamat




Tuesday, November 29, 2011

Achieving Our Dream : A to Z List [ AMIns - Anekdot Motivasi dan Inspirasi ]


Mimpi, terhasilnya dek mengimpikan apa yang diimpikan.

Bagaimana hendak dinafikan; memanjat tangga, pasti mengimpikan tiba di penghujungnya. Mengais kehidupan untuk mencicip walau sekelumit rezeki, pasti mengimpikan saat bahagia dan kesenangannya. Menghayun mata pena dan mengombak halaman buku, pasti mengimpikan kala gilang kecemerlangan dan kejayaan. Sehiris luka pedih di kalbu, alangkah bahagianya jika kesembuhan yang diimpikan bertandang.

Malahan sang hamba, jalan perjuangan ini ada impiannya.

Monday, November 28, 2011

Medan Gelombang Hati [ AMIns - Anekdot Motivasi dan Inspirasi ]


Buku kehidupan - selak seketika beberapa halaman ke belakang. Tinggal sebentar alam pravarsiti untuk dilakar mengisi halaman semasa. Tinggal sebentar serabut dunia yang mencengkam hati dari tenang berbicara dengan Tuan hati yang dirindui. Tinggal sebentar halaman kehidupan semasa yang kusam.

Sedetik terhenti pada beberapa halaman sebelum. Halaman tercoret indah dan kemas, meskipun ada sedikit jua carik-carik di beberapa tempat.

Halaman biah tarbiah. Biah Qurani.

Sunday, November 6, 2011

Cerpenku : Mizan Emas

Nukilan : Syuaib Supani


Pagiku gesa-gesa, walhal suria tenang berkongsi habanya buat kesejahteraan alam. Waktu Dhuha menyapa bagaikan aku tak terpanggil sama. Tangan pada tali pinggang Levi's. Kemeja T belang-belang. Baju panas putih disingsing lengan. Semerbak Brave mengharum.

Peluang sekali harus direbut, gumamku. Digagau dicapai disemat erat. Hati bunga-bunga teruja.

"Sahabat, anta sudah menuturkan hamdalah kerana pagi masih sempat disapa, bukan?" mesej bertandang ke telefon bimbit. Wafi. Sehidup semati di hati. Pagi-pagiku takkan sunyi daripada titipan daripadanya. Tazkirah, pesanan dan ibrah pun. Aku senyum, senang. Jari menaip, membalas cuitan pagi.

"Sahabat, ana ada sedikit urusan di Shah Alam. Doakan moga dipermudahkan".

Dengan itu, aku melangkah keluar. Entah kaki kiri atau kaki kanan yang mendahului, dalam masa hatiku belum lekang daripada mesej balasan daripadanya. Pun begitu, langkah pagi tetap kuatur dalam ceria. Girang, dan siapa tahu aku bakal menangis di akhir hari. Mungkinkah?

Tuesday, October 18, 2011

Cerpenku : Usu Hirup Air Jeram dan Tigris

Nukilan : Syuaib bin Supani


Dari celahan pepohon yang sunyi dan antara kicauan unggas yang menyanyi, dia tercungap-cungap. Gusar merenikkan sebening keringat; Nasri mengesat dahi. Tubuhku berjaya dipaut ke tebing, walaupun pakaian Nasri kuyup. Mataku kupejam, menyedut nafas sedalam-dalamnya. Semput terasa dada, namun hatiku puas. Tembok dalam hati telah kuruntuhkan, meskipun aku sedar tindakanku agak kurang bijak. Aku perlu belajar lagi.

"Alahai, comel!"

Sejumlah tangan berebut-rebut hendak memangkuku. Merangkul kasih. Aku hanya membiarkan, dek sifatku sedemikian rupa. Jiwa mulus sememangnya dahagakan perhatian dan belaian dari sesiapa sahaja, hatta sang pendiam sepertiku.

Kehangatan dukungan lama terasa, bersilih ganti. Bahagia suara mereka jelas kedengaran saat melayan keletahku, masih jelas terngiang-ngiang di telingaku celam-celum gemersik daun bergeser dihembus bayu rimba saat itu. Hangat bertukar dingin, terasa kakiku dicecahkan ke permukaan air. Sempat kukutip ibrah darinya; dingin dan tenang itu datangnya dari kesucian batin. Air itu di hulu, air muda; fizikal yang jernih serta sifatnya yang mendamaikan benar-benar mendatangkan manfaat kepada kita disebabkan batinnya yang suci dan bersih.

Betapa umat kucar-kacir ini kehilangan jiwa-jiwa yang suci. Jiwa-jiwa muda yang mengindahkan tautan dengan alam, dek hadirnya sebagai khalifah.

Justeru kacau jiwanya sedikit, aku terlupakan dari perhatian.

"Pak Kob! Pak Kob! Usu tu!" suara ibu sayup memanggil, teresak-esak. Melambai lemah. Suasana jadi riuh gelisah.

Respon Membina